BERITA mengejutkan datang dari industri hiburan negara seberang, Indonesia apabila penyanyi Tegar Septian tiba-tiba mengumumkan bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya, Sarah Sheila Kamilia.
Bagaimanapun, penyanyi yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang itu tidak mendedahkan punca mengapa perpisahan tersebut berlaku.
Tetapi menerusi pengakuan dalam hantaran Instagramnya, Tegar, 21, mengakui dirinya bukan seorang yang sempurna dan dia sedang mengalami tekanan.
“Sudah teman-teman, saya sudah tidak bersama Sarah lagi. Saya sudah terlalu penat dan saya janji tak mahu terulang lagi seperti ini,” tulisnya.
Biarpun begitu, Tegar seakan memberi bayangan kehidupan romantis yang ditayangkan dalam media sosial bersama Sarah selama ini tidak sama dengan apa yang dilaluinya kerana pening memikirkan banyak urusan.
“Maaf juga saya memang seorang manusia yang tak sempurna. Kalau kalian mahu tahu, saya benar-benar pusing dan stres memikirkan urusan ini itu.
“Ya, memang saya dalam Instagram seperti romantis tetapi sebaliknya kalian tak tahu pusingnya (peningnya) saya macam mana,” luahnya lagi.
Tambah penyanyi asal Subang, Jawa Barat itu lagi, dirinya mengalami penurunan berat badan kerana banyak berfikir dan memberitahu bahawa masalah kewangan menjadi penyebab dirinya mengalami depresi.
Barangkali enggan terpuruk meratapi perpisahan yang terjadi, Tegar berkata, buat masa ini dia mahu memulakan kehidupan baharu.
“Kalian harus tahu saya selalu di rumah sahaja. Jujur saya orangnya tak betah duduk di rumah. Saya sampai kurus banyak berfikir. Wang susah mahu dicari, jadi buatkan saya depresi.
“Sekali lagi, mulai detik ini saya sudah tidak bersama Sarah lagi. Saya memilih untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Untuk info, Tegar mendirikan rumah tangga bersama Sarah pada 20 Mac 2020 di Jakarta ketika dirinya berusia 19 tahun.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki bernama Abidzar Oktaviano Putra Septian yang berusia hampir dua tahun. – KOSMO! ONLINE