KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan halangan sukar untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Pasangan di ranking ke-12 dunia itu cuma mengambil masa 36 minit untuk menewaskan Yoshinori Takeuchi-Keiichiro Matsui dari Jepun dengan kemenangan straight-set 21-12, 21-12.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Sze Fei-Izzuddin ke atas lawan di kedudukan ke-31 dunia itu selepas kali pertama bertemu sewaktu Cabaran Antarabangsa Malaysia lima tahun lalu.
Namun, tugas sukar menanti Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua nanti apabila bertemu beregu No.1 India yang juga pemenang Piala Thomas 2022, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Rankireddy-Shetty mara selepas menumpaskan beregu negara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee dengan keputusan 21-18, 21-11 hari ini.
Saingan pusingan pertama hari ini menyaksikan dua lagi wakil beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong juga mara ke peringkat seterusnya.
Turut mengikut jejak langkah ketiga-tiga beregu lelaki itu ialah pasangan muda wanita negara, Low Yeen Yuan-Valeree Siow Zi Xuan selepas menewaskan Linda Efler-Isabel Lohau dari Jerman 17-21, 21-16, 21-19. – KOSMO! ONLINE