KUALA LUMPUR – Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memilih Aifa Azman bagi menggantikan tempat pemain wanita pertama negara, S. Sivasangari dalam acara beregu pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan.
Ia berikutan situasi Sivasangari terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan di kepala dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Lebuh Raya KL-Putrajaya (MEX) pada pukul 3.46 pagi, Ahad lalu.
Pemain berusia 23 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum kembali semula ke gelanggang.
“Kami harus membuat keputusan bagi menggantikan tempat Sivasangari susulan kemalangan dialaminya yang menyebabkan dia tidak boleh beraksi di Sukan Komanwel.
“Jawatankuasa Kejurulatihan SRAM memutuskan Rachel Arnold yang sepatutnya bersama Sivasangari kini digandingkan dengan Aifa dalam acara beregu wanita.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/06/SIVASANGARI.jpg)
“Syafiq Kamal yang sebelum digandingkan bersama Aifa dalam beregu campuran, kini berpasangan bersama Ong Sai Hung bagi acara beregu lelaki. Dia juga akan terus bermain acara perseorangan.
“Addeen Idrakie yang awalnya bergandingan dengan Ong Sai Hung dalam beregu lelaki, kini akan bersama Ainaa untuk beregu campuran.
“Chan Yiwen juga akan bermain dalam acara perseorangan dan tiada tambahan pemain dilakukan,” menurut Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis Olimpik Malaysia juga akan mengumumkan pengganti Sivasangari sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE