KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak akan menurunkan penyerang baharu, Jose Embalo untuk aksi Liga Super bertemu Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.
Ia selepas Embalo, 29, baru sahaja tiba bagi menggantikan tempat penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa yang digugurkan kerana penurunan prestasi selain masalah kecederaan.
Sehubungan itu, Kim Swee berharap para peminat dapat bersabar menantikan permainan Embalo yang berpengalaman luas beraksi di liga-liga sekitar Eropah antaranya Portugal, Cyprus, Romania, Iceland, Poland dan Armenia.
“Untuk perlawanan dengan Selangor FC, Embalo tidak akan diturunkan kerana dia baru sahaja tiba. Kita perlu bagi sedikit masa kepada Embalo.
“Kita akan cuba memastikan Embalo berada pada tahap kecergasan yang baik sebelum kita menurunkan Embalo pada perlawanan selepas ini.
“Pengalamannya bermain dalam banyak liga di Eropah diharap dapat memberi kelebihan untuk dia segera menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dan rentak permainan pasukan,” katanya.
The Rhinos ketika ini terus dilihat berada dalam keadaan terbaik selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 18 Jun lalu.