LONDON – Seorang warga emas di Britain yang berkhidmat sebagai posmen selama 59 tahun akhirnya membuat keputusan bersara pada usia 74 tahun, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Jim Hardbattle mula bekerja sebagai posmen pada Mei 1963 ketika berusia 15 tahun.
Menurutnya, ketika itu, dia menghantar telegram dan surat dengan menunggang motosikal model BSA Bantam 125cc.
Pada usia 18 tahun pula, dia memulakan tugas di sebuah pejabat pos utama di Britain.
“Anda perlu sentiasa kelihatan kemas dan bergaya. Saya melakukan tugas menyusun surat di pejabat pos utama itu tidak lama sebelum menyertai khidmat penghantaran menggunakan van,” katanya.
Hardbattle masih boleh memandu sejauh 88 kilometer sehari untuk membuat penghantaran, namun dia kini dibantu teknologi semasa seperti pengimbas semasa berkerja.
Pekerja itu yang bersara Julai ini berkata, dia akan merindui rakan-rakan sekerjanya.
“Saya berasa gembira melakukan kerja ini dan dibayar dengan gaji yang amat munasabah. Memang ada masanya saya perlu melakukan kerja lebih masa, namun kerja keras tidak akan membunuh kita,” jelasnya.
Sementara itu, syarikat Royal Mail berkata, perkhidmatan selama 59 tahun Hardbattle adalah pencapaian yang hebat.
“Kami berterima kasih kepada Hardbattle atas perkhidmatannya selama hampir enam dekad kepada syarikat dan pelanggan,” katanya. – Agensi