SEPANG – Seorang penunggang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori berdekatan Desa Pinggiran Putra, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10.31 pagi di Kilometer (KM) 5.8 Jalan Desa Pinggiran Putra itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 Dream gagal mengelak sebuah lori yang tiba-tiba membelok ke kiri jalan untuk memasuki sebuah lorong.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Putrajaya menuju ke arah Dengkil.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Isuzu tiba-tiba membelok ke kiri jalan dipercayai mahu menuju ke kawasan kandang lembu di sini sebelum dirempuh mangsa dari arah belakang.
“Mangsa yang berusia 26 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati, mangsa berasal dari Seksyen 2, Bandar Baru Bangi dan bekerja sebagai penyelenggara bangunan selain bekerja sambilan sebagai penunggang p-hailing,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujar beliau, pemandu lori berusia 55 tahun pula berasal dari Desa Pinggiran Putra tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE