fbpx

Peniaga sebabkan kanak-kanak OKU kritikal dadah dijel 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Mohd. Shahrizuan (kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang peniaga pasar borong selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia tiga tahun dengan dadah jenis methamphetamine dan heroin kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Shahrizuan Alias, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendedahkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan kepada sesuatu yang membahayakan tubuh badan iaitu dadah berbahaya jenis methamphetamine dan heroin.

Perbuatan Mohd. Shahrizuan yang merupakan orang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu turut menyebabkan mangsa mengalami ‘drug toxicity’.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Dabong dekat Kuala Krai kira-kira pukul 3 petang pada 18 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan kepada Mohd. Shahrizuan yang tidak sepatutnya cuai dengan meletakkan sesuatu yang boleh membahayakan kanak-kanak sehingga mangsa mengalami ‘drug toxicity’

Menurutnya, hukuman itu mengambil kira kesalahan tertuduh yang mendedahkan mangsa yang juga merupakan OKU kepada perkara berbahaya.

Mohd. Shahrizuan dalam rayuannya memohon hukuman ringan diberikan kepadanya kerana masih perlu menyara keluarga selain mempunyai dua orang anak kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Jun lalu selain bon berkelakuan baik dan cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin selama tempoh tersebut.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani perintah khidmat masyarakat selama 180 jam.

Mengikut fakta kes, Hospital Gua Musang menerima seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa oleh ibunya untuk dirawat pada 19 Jun lalu.

Ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan morfin yang dipercayai terlebih dos sehingga menyebabkan mangsa kritikal.

Sehari sebelum kejadian, Mohd. Shahrizuan telah membawa keluar kanak-kanak tersebut pergi mandi sungai.

Mangsa yang dilihat mengantuk telah diletakkan di dalam kereta seorang diri sebelum lelaki itu turun semula ke sungai untuk mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan.

Mangsa dipercayai meminum air mengandungi dadah milik Mohd. Shahrizuan yang diletakkan di dalam kereta itu selepas lelaki itu mendapati botol tersebut sudah kosong.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki kritikal selepas dipercayai tertelan dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam kejadian di Kuala Krai pada 18 Jun lalu.

Kejadian disedari oleh ibu mangsa yang berusia 36 tahun selepas mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dengan muka kebiru-biruan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan pada pukul 5 pagi keesokan harinya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan maklumat ibu mangsa, sebelum itu, kanak-kanak tersebut dibawa keluar oleh bapa saudaranya sebelum dihantar pulang dalam keadaan lemah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI