ASSEN – Pelumba pasukan Ducati, Francesco Bagnaia mengakui dia beraksi dalam keadaan takut pada perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen malam kelmarin biarpun berjaya menjulang kemenangan.
Ia gara-gara hujan yang mula turun pada 10 pusingan terakhir, sekali gus menyebabkan dia lebih berjaga-jaga kerana bimbang perkara sama berulang selepas gagal menamatkan saingan dalam dua perlumbaan terdahulu.
Selain hujan yang mula membasahi litar, Bagnaia juga berdepan tekanan tinggi untuk menamatkan perlumbaan memandangkan pelumba pasukan Mooney VR46 Racing, Marco Bezzecchi cuba mengejar kedudukannya.
“Perlumbaan hari ini (kelmarin) cukup menakutkan, terutamanya ketika hujan mula turun. Selain itu, Bezzecchi juga cukup agresif sepanjang perlumbaan dan konsisten untuk merapatkan jurang.
“Justeru, saya terpaksa menambah kelajuan bagi menjarakkan diri, namun tetap berjaga-jaga kerana litar basah pada penghujung perlumbaan. Bagaimanapun, Bezzecchi seolah-olah berlumba dalam keadaan litar kering,” katanya.
Pelumba Itali itu menjelaskan, dia kehilangan banyak masa sebelum menuju ke garisan penamat kerana hujan yang turun menyebabkan penglihatannya kurang jelas selain risau dengan keadaan trek licin.
“Apabila hujan turun, kebiasaannya penglihatan akan terbatas, jadi dari situlah saya mula kehilangan masa dan Bezzecchi cukup agresif mengejar. Bagaimanapun, saya kekal tenang dan menyesuaikan diri dengan keadaan,” ujar Bagnaia. – AGENSI