KUANTAN – Masalah capaian internet selain kemudahan Wi-Fi yang agak terhad di Universiti Malaysia Pahang di sini menyebabkan ada pelajar yang terpaksa berkongsi duit untuk membeli data talian bagi tujuan pembelajaran.
Seorang pelajar dikenali sebagai Lina berkata, masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk melayari internet terutama menggunakan kemudahan Wi-Fi.
“Ada waktu tertentu mungkin ketika ramai pelajar menggunakanya, Wi-Fi menjadi begitu perlahan sehingga tidak dapat digunakan.
“Ini masalah sebenar yang mengganggu kami untuk belajar dan mendapatkan maklumat,” katanya.
Menurutnya, dia dan rakan-rakannya berharap isu ini dapat segera diselesaikan memandangkan semua pelajar telah memulakan pengajian secara fizikal di universiti.
Seorang lagi pelajar dikenali sebagai Nurin berkata, dia dan rakannya terpaksa mencari ikhtiar lain iaitu dengan berkongsi untuk membeli data internet semata-mata untuk mendapatkan capaian yang lebih pantas.
“Bagaimanapun, kami perlu keluarkan sendikit kos untuk membeli data.
“Bagi sesetengah pelajar, perkara ini agak remeh dan biasa, tetapi bagi mereka yang berasal dari keluarga B40, situasi ini agak membebankan,” jelasnya.