JAKARTA – Pengarah Institut Perisikan Indonesia, Ridlwan Habib menyifatkan langkah Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk melawat Russia dan Ukraine adalah lebih berani berbanding rakan sejawat beliau dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, lapor laman berita Tribunnews.
“Jokowi lebih berani daripada AS kerana Biden hanya boleh mengulas dari jauh, manakala Jokowi memilih bertemu empat mata dengan dua pihak yang bertelagah,” kata Ridlwan.
Pemerhati risikan itu menambah, langkah Jokowi itu sangat strategik di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Dunia diancam oleh krisis tenaga dan krisis makanan kerana perang antara Ukraine dan Russia.
“Langkah Jokowi untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin kedua-dua negara sememangnya ditunggu-tunggu oleh masyarakat dunia,” jelasnya.
Sementara itu, pemerhati tentera, Connie Rahakundinie Bakrie pula mencadangkan agar Jokowi tidak bertemu dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Kiev bagi menjamin keselamatan Presiden Indonesia itu.
“Saya sarankan bertemu di sempadan negara sahaja, tidak perlu ke Kiev kerana potensi untuk berlaku pertempuran diluar jangkaan adalah tinggi,” kata Connie.
Beliau juga berharap agar ada kenyataan rasmi dari Ukraine dan Russia berhubung pelaksanaan gencatan senjata seketika semasa Jokowi mengadakan lawatan ke sana. – Agensi