PENYERANG terbaik Sooka Netball Super League (NSL) 2022, Nur Fariha Abdul Razak menganggap kejayaan Johor Jewels menjuarai edisi kedua musim ini amat bermakna buat dirinya.
Biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kanan tetapi Nur Fariha, 27, tetap turun memberikan aksi terbaik buat Johor Jewels menentang Kuala Lumpur (KL) Wildcats di pentas final kelmarin.
Hasilnya, Nur Fariha bukan sahaja berjaya memainkan peranan penting dalam kemenangan 50-40 ke atas KL Wildcats di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin, malah turut dinobatkan sebagai penyerang terbaik NSL 2022.
“Sebelum final malam ini (kelmarin), saya berdebar-debar sampaikan tak boleh tidur. Dapat tidur pun dalam pukul 3, 4 pagi. Namun, kami simpan segala perit untuk berikan segala-galanya di final.
“NSL kali ini amat bermakna kerana kami meraih kejayaan di hadapan penyokong sendiri. Suasana ini turut mengembalikan memori saya di sini (Stadium Juara) ketika final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,” katanya.
Lebih manis, kejayaan mereka dilakar di hadapan isteri Pemangku Raja Johor yang juga Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam yang hadir menyaksikan aksi final tersebut.
Kapten Johor Jewels, Pow Mei Foong berterima kasih kepada rakan sepasukannya kerana memberikan segala-galanya untuk memastikan trofi NSL 2022 menjadi milik mereka selepas tewas kepada KL Wildcats di final tahun lalu.
“Segala pengorbanan kami sangat berbaloi kerana kami berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan ini. Kemenangan ini juga buat semua penyokong kerana tanpa anda, kami tidak ada di sini,” jelasnya.