fbpx

Hukuman penjara 3 tahun tidak setimpal dengan kesalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohaya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu minggu lalu. - FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang kritikal selepas dipercayai tertelan dadah jenis methamphitamine pada 18 Jun lalu menganggap hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadap suspek kes tersebut hari ini tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

Rohaya Hasan, 36, berkata, dia amat sedih dengan perbuatan sepupunya yang berusia 32 tahun itu sehingga anak bongsu daripada tiga beradik masih berada dalam keadaan lemah ketika ini.

Menurutnya, anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masih lemah dan tidak boleh makan dan minum seperti biasa.

“Pada pandangan saya, hukuman penjara tiga tahun itu ringan dengan kesalahan dan kecuaian yang dilakukan olehnya.

“Bagaimanapun, saya berharap dia menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran agar tidak melakukannya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Rohaya, anaknya kini tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, namun anggota badannya masih lemah malah masih perlu minum susu menggunakan tiub.

Katanya, dia tidak mahu memikirkan mengenai suspek yang sudah dijatuhi hukuman penjara ketika ini dan hanya mahu fokus selain berdoa agar anaknya sihat seperti sediakala.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang peniaga pasar borong selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki OKU berusia tiga tahun dengan dadah jenis methamphetamine dan heroin kira-kira dua minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI