LONDON – Satu rakaman video mendapat perhatian netizen kerana memaparkan rekaan pesawat gergasi digelar ‘hotel terbang’ yang boleh membawa sehingga 5,000 penumpang dalam satu masa, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Hotel dalam pesawat dinamakan Sky Cruise itu mempunyai 20 enjin berkuasa nuklear.
Pengendaliannya menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) serta direka untuk tidak mendarat.
Menurut laporan, penumpang yang ingin menaiki Sky Cruise akan dibawa oleh pesawat konvensional, manakala semua kerja pembaikan akan dijalankan ketika pesawat mega itu berada di ruang udara.
Pereka prototaip pesawat gergasi tersebut, Hashem Alghaili berkata, Sky Cruise bakal menjadi pengangkutan masa depan dunia.
Apabila ditanya mengenai bilangan juruterbang yang diperlukan untuk mengemudi pesawat tersebut, beliau berkata: “Ketika adanya teknologi canggih sebegini, anda masih mahukan juruterbang? Sky Cruise akan berfungsi secara automatik.”
Video promosi pesawat tersebut turut memaparkan beberapa kemudahan yang akan disediakan termasuk pusat beli-belah, gimnasium, pawagam dan kolam mandi.
Rekaan pesawat itu bagaimanapun mendapat kritikan sesetengah pihak dengan ada yang mendakwa bahawa sekiranya pesawat dijana reaktor nuklear itu terhempas, ia mampu memusnahkan sebuah bandar.
“Idea yang ‘bagus’ untuk meletakkan reaktor nuklear pada sesuatu yang boleh rosak dan jatuh dari langit,” kata seorang netizen secara sinis. – Agensi