LONDON – Arsenal dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penyerang Manchester City, Gabriel Jesus selepas pemain itu menyetujui terma peribadi yang ditawarkan.
The Gunners juga dilaporkan sudah bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai £45 juta (RM243.36 juta) yang diminta oleh City dan perpindahan tersebut bakal menjadi kenyataan dalam sedikit masa sahaja lagi.
Jesus yang pernah bekerja bersama-sama Mikel Arteta ketika pengendali The Gunners itu menjadi pembantu pengurus di Etihad dilapor akan menandatangani kontrak selama lima tahun bersama pasukan berkenaan.
Difahamkan, City bakal menggunakan wang bayaran perpindahan tersebut untuk menampung dana bagi membawa masuk pemain tengah Leeds United, Kalvin Phillips yang dianggarkan bernilai £42 juta (RM227.14 juta) tidak termasuk bayaran tambahan lain.
Perkembangan tersebut menyaksikan pencarian Arsenal untuk mendapatkan seorang penyerang berakhir ketika mereka kehilangan Alexander Lacazette yang kembali ke pasukan lamanya, Lyon dan Pierre-Emerick Aubameyang yang menyertai Barcelona pada Januari lalu.
Jesus menjadi pemain sasaran Arteta sejak sekian lama dan pengurus dari Sepanyol itu berharap kehadiran pemain antarabangsa Brazil itu mampu memberikan impak yang baik terutama di bahagian serangan pasukannya.
Sejak menyertai City dari Palmeiras pada 2017, Jesus telah berjaya menjaringkan 95 gol dalam 236 penampilan dan berjaya merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali serta satu gelaran Piala FA. – AGENSI