PETALING JAYA – Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya (FLICK) adalah satu pendekatan proaktif untuk melengkapkan pelajar dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan mereka sebelum melangkah ke alam kerjaya.
Program dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu juga dapat membantu meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran pekerjaan.
Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, program FLICK juga akan memberi pendedahan berkaitan kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan dengan keperluan semasa.
“Pelajar perlu diberikan kesedaran awal berhubung keutamaan menabung sebagai salah satu cara terbaik dalam mengurus kewangan dan membuat pilihan bijak dengan memilih produk simpanan yang menawarkan manfaat serta pulangan yang berbaloi.
“Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN merupakan antara pilihan bagi instrumen simpanan untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis perasmian penutup FLICK Pelajar IPTA Tahun 2022 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini.
Sebelum ini, program tersebut telah berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini melibatkan 14 IPTA di seluruh negara dengan fokus utama memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu pengurusan kewangan dan membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam kerjaya serta pelbagai peluang pasaran selepas tamat pengajian. -KOSMO! ONLINE