MANCHESTER – Era baharu Manchester United di bawah kendalian pengurus baharu, Erik Ten Hag dijangka akan mengalami perubahan besar dari segi peraturan dalam usaha menaikkan semula maruah pasukan itu.
Difahamkan, jurulatih dari Belanda itu mahu menggunakan pendekatan pengurus legenda United, Sir Alex Ferguson yang menerapkan peraturan ketat terhadap barisan pemainnya termasuk ketika makan.
Selepas membuat penilaian terhadap keadaan fizikal pemain-pemain United, Ten Hag dikatakan sudah merancang untuk memperkenalkan sistem latihan dua kali sehari kepada barisan pemainnya.
“Ten Hag sudah pun membuat perancangan sendiri mengenai corak pengurusannya di United. Beliau seorang pengurus yang amat mementingkan kualiti latihan, jadi corak latihan selepas ini akan lebih berbeza.
“Apa yang pasti, pemain-pemain United akan banyak berlari pada sesi latihan nanti. Mereka tidak akan berlari seperti biasa, tetapi bola sentiasa berada di kaki mereka,” kata sumber dalaman United.
Selain latihan lebih keras yang diterapkan, Ten Hag akan kembali mempraktikkan budaya makan malam bersama selepas ia semakin dilupakan sebaik sahaja Ferguson mengumumkan persaraan pada 2013.
Ten Hag mahu budaya itu diterapkan semula kerana beliau percaya ia mampu membina keharmonian selain mengukuhkan semangat setia kawan yang amat diperlukan ketika di atas padang. – AGENSI