PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew ke Alor Setar, Kedah bagi menziarahi keluarga tiga beranak yang lemas dalam kejadian kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai baru-baru ini.
Menurut perkongsian Facebook Ebit Lew, beliau sedih terkesan melihat cinta seorang ibu sehingga saat akhir sedang berpelukan dengan kedua-anaknya.
“Adik baju hijau ini rindu ibu dan dua adiknya. Ya Allah, berat ujianmu adik.
“Ayahnya pun menangis jumpa saya. Dia pun sebelum ini setahun terlantar kerana kemalangan,” katanya pada hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Ebit turut menziarahi kubur tiga beranak itu.
“Katanya adik selalu rindukan mak dan sentiasa doa nak jumpa mereka dalam Syurga Firdaus.
“Adik baju hijau ini kini tinggal membantu ayahnya uzur. Tak berhenti ucap terima kasih kerana hadir jauh memberi semangat.
“Ya Allah, ampunkanlah dan sayangi arwah ustazah dan dua anaknya. Ya Allah, beri kekuatan untuk ahli keluarganya yang ditinggalkan ini. Allah sayang pada mereka,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang guru agama dan dua anak lelakinya ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang terjunam ke dalam Sungai Ketil dalam kejadian di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil.
Mayat Masyitoh Ibrahim, 37, serta dua anaknya iaitu Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, ditemui selepas kereta jenis Proton Persona tersebut dinaikkan menggunakan kren pada pukul 3.30 pagi. -KOSMO! ONLINE