TUMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan terus memperkemaskan kemahiran kepada semua pegawai dan anggota terutama tugas menyelamat mangsa banjir atau lemas.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, kebanyakan daripada mereka ketika ini sudah mempunyai pengalaman dalam tugasan masing-masing.
“Bagaimanapun, kita akan terus memperkemaskan kemahiran seramai 700 pegawai dan anggota yang bertugas di 22 balai bomba di negeri ini dalam aspek menyelamat di air.
“Semua pegawai dan anggota tidak kira sudah lama berkhidmat atau baru menyertai JBPM perlu menyertai latihan bagi memudahkan sebarang pergerakan menyelamat tidak kira berada di mana-mana pun,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Kursus Pengukuhan Pemandu Bot JPBM Kelantan di Pulau Ular, Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, meskipun tugas bomba memadam kebakaran, namun tugas menyelamat mangsa ketika banjir dan lemas juga penting.
Katanya, fenomena atau peralihan monsun tidak menentu ketika ini sekali gus menjadikan persiapan itu adalah wajar. – KOSMO! ONLINE