fbpx

Bintang sambungan lagu bersama Malique Ibrahim – Siqma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALING memuji, Siqma dan Afif tidak berdepan kesukaran mencipta keserasian.

NAMA penyanyi dan rapper Siqma mungkin sudah agak sebati sekali gus mendapat tempat di hati peminat lantaran gaya nyanyian rap yang disampaikan memiliki rentak serta gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi.

Identiti tersebut membuatkan Siqma tampil berbeza dan sedikit unik berbanding kebanyakan rapper seangkatan dengannya.

Malah, populariti diraih Siqma atau nama sebenarnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak menerusi lagu-lagu ciptaannya sendiri yang dikongsi dalam YouTube sejak 2017 sudah cukup membuktikan dia memiliki kelompok pengikut tersendiri.

Pernah melancarkan beberapa single antaranya Salam 1001, Cemas, Raja Simurgh dan Dipinggirkan, Siqma kini mempertaruhkan buah tangan terbaharu berjudul Bintang, kolaborasi bersama penyanyi Afif Tirmizie.

Selain Siqma, Bintang turut dicipta bersama penyanyi dan komposer terkenal, Kmy Kmo yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

Bercakap mengenai karya tersebut, pemuda berusia 27 tahun itu menyifatkan Bintang lebih menjurus terhadap penceritaan cinta, memori dan duka seseorang.

“Pada mulanya idea asal lagu ini mengisahkan mengenai pandangan kehidupan saya sebagai seorang anak dalam sebuah keluarga kecil sahaja.

BAIK Siqma (kanan) mahupun Afif, mereka melihat kolaborasi yang terjalin menerusi lagu Bintang sebagai sebuah projek yang profesional.
– Foto UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

“Tetapi pada saat akhir proses penulisan lagu ini saya fikir, sudut pandangan perlu diubah ke arah lebih luas dan menjadikannya lebih universal.

“Maka, saya memilih tema cinta, memori dan duka seseorang yang pernah dialami dalam kehidupan untuk dijadikan kekuatan mahupun pengajaran agar terus kuat menghadapinya.

“Saya cuba menjadikan Bintang sebagai kesinambungan untuk lagu Dipinggirkan yang diterbitkan oleh Malique Ibrahim sebelum ini,” katanya.

Tambah Siqma, proses penulisan bahagian korus dan bridge lagu Bintang agak mudah dan tidak mengambil masa terlalu lama.

“Alhamdulillah, proses penulisan lagu ini berjalan lancar dan mudah dengan bantuan Kmy Kmo.

“Cuma pada bahagian verse sedikit sukar dan mengambil masa untuk saya pilih, gabungkan dan selaraskan dengan korus serta bridge yang sudah kami buat,” ujarnya.

Sementara itu, menjelaskan mengenai kolaborasinya bersama Afif yang juga seorang guru vokal, Siqma menyifatkan pemilihannya sangat bertepatan.

“Saya pilih Afif kerana vokalnya yang merdu, sesuai dengan lagu ini dan dia seorang yang profesional. Jadi senang kami bekerjasama.

“Alhamdulillah, ketika proses rakaman lagu semuanya berjalan dengan sempurna. Proses rakaman suara disempurnakan di JK Music Vibe oleh Johan Samsudin.

“Begitu juga ketika rakaman video muzik. Penggambaran dijalankan di tiga lokasi dan mengambil masa satu hari tetapi segala proses rakaman sangat mudah dengan kerjasama dan tenaga yang diberikan oleh pasukan produksi, artis dan bakat lain,” katanya.

Sama seperti lagu yang pernah dilancarkan sebelum ini, Siqma berharap Bintang dapat diterima baik pencinta muzik tanah air biarpun di sebalik penghasilan lagu tersebut dia berdepan cabaran tersendiri.

Sementara itu, Afif yang pertama kali bekerjasama dengan Siqma memuji kolaborasi mereka yang disifatkan sesuatu yang profesional.

“Alhamdulillah, ini satu kolaborasi yang sangat baik dari awal perbincangan sehingga selesai segala urusan.

“Bekerjasama bersama Siqma, dia seorang yang profesional, sungguh santai dan fleksibel dalam segala perbincangan,” katanya.

Bintang yang sudah dilancarkan sejak 10 Jun lalu boleh didengari menerusi semua laman penstriman dan video muziknya dalam YouTube Siqma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI