fbpx

16 syarikat catat penjimatan RM26.2 juta setahun menerusi tenaga solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham Baba.

PUTRAJAYA – Sebanyak 16 syarikat dan enam kilang mencatatkan penjimatan penggunaan tenaga sebanyak 351,055 megawatt setiap jam (MWh) dengan nilai RM26.2 juta setahun sejak 2018 menerusi program Kecekapan Tenaga Malaysia dan Projek Aplikasi Solar Termal (MAEESTA).

Kesemua 16 syarikat yang melaksanakan langkah kecekapan tenaga (EE) dan enam buah kilang yang memasang sistem termal solar itu turut berjaya mengurangkan jumlah pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sepanjang hayat kepada 995,554 tan.

Syarikat-syarikat tersebut antaranya terdiri daripada kilang tekstil, kilang pemprosesan, farmaseutikal, kilang pulpa dan kertas, getah, rawatan permukaan logam, pemprosesan petrokimia dan kimia serta hospital.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, MAEESTA adalah inisiatif Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) yang dilaksanakan sejak Julai 2014.

“Projek yang menggunakan teknologi termal solar itu adalah sejajar dengan cita-cita dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon menjelang awal 2050.

“Justeru MOSTI amat menggalakkan pembangunan serta penggunaan teknologi dan perkhidmatan perindustrian yang boleh mengurangkan pelepasan GHG sekali gus memastikan kelestarian alam sekitar negara,” katanya.

Beliau berkata demikin ketika berucap pada majlis penyerahan sijil kepada pemain 35 pemain industri yang menyertai UNIDO MAEESTA di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad menerusi kenyataan yang dibacakan Naib Presiden Kanan Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Mohd. Azanuddin Salleh. berkata, penglibatan dan komitmen SIRIM ke arah mempromosikan aplikasi termal solar untuk kegunaan industri menjangkau skop projek UNIDO MAEESTA.

Jelasnya, penyelidik dan jurutera SIRIM telah berjaya mereka bentuk, membangunkan, menguji serta memasang lapan loji demonstrasi termal solar berskala meliputi pelbagai subsektor industri di negara ini.

“Projek-projek ini kebanyakannya dibiayai melalui program SIRIM-Fraunhofer dan industri swasta. Kilang demonstrasi tersebut merupakan perintis dalam industri makanan dan minuman, pemprosesan ayam, hotel serta industri pengeringan kayu,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI