PUTRAJAYA – Sebanyak 5,551,094 pemeriksaan direkodkan sepanjang Ops Patuh yang dikendalikan Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS) sejak setahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sepanjang tempoh Ops Patuh itu, sebanyak 13,143 kompaun telah dikeluarkan dan 6,383 premis telah diarahkan tutup.
“Pada 25 Jun lalu, genap setahun JKPS ditubuhkan bagi menggerakkan Ops Patuh untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.
“Kerajaan memutuskan untuk menamatkan pelantikan Pegawai Yang Diberikan Kuasa menerusi JKPS di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berkuatkuasa 30 Jun ini.
“Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan prosedur operasi standard (SOP) dan Protokol Peralihan Endemik,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi JKPS di sini, hari ini.
Katanya, kerjasama dengan KKM itu akan menggunakan kuasa perundangan sedia ada di bawah Akta Polis 1967 dengan pendekatan diberikan lebih kepada advokasi kepada rakyat berkaitan fasa peralihan endemik ini.- KOSMO! ONLINE