LONDON – Seorang wanita yang sering dibuli ketika zaman remaja kerana mempunyai janggut seperti lelaki, mengaku bahawa dia akhirnya berasa bebas selepas menerima keadaan diri dan membiarkan bulu tumbuh pada wajahnya.
Menurut akhbar Daily Star, Morgan Coleman, 26, mula menyedari bulu tumbuh dengan banyak pada bahagian pipi, dagu dan lehernya ketika dia berusia 11 tahun. Sepanjang usia remajanya, Morgan cuba menyembunyikan bulu-bulu tersebut.
Tambah wanita itu, dia sering dikelilingi oleh individu yang menggelarnya hodoh, aneh dan lelaki, malah ada yang menyangka dia mak nyah.
Situasi yang dialaminya telah memusnahkan keyakian diri Coleman dan mendorongnya mencuba pelbagai cara untuk menghilangkan janggut tersebut termasuk menggunakan kaedah elektrolisis, namun gagal.
Pada Januari 2021, dia disahkan menghidap hirsutisme atau pertumbuhan bulu yang berlebihan dan Sindrom Ovari Polikistik.
Namun, pada April baru-baru ini, Coleman membuat keputusan untuk menerima diri seadanya selepas enam hari terlantar di hospital akibat jangkitan Covid-19. Katanya, situasi tersebut memberinya ruang untuk berfikir tentang diri sendiri.
“Tiba masanya untuk saya menerima wajah asli saya dan apa yang mengejutkan adalah orang ramai sebenarnya tidak terlalu prejudis seperti yang disangka.
“Saya kini lebih tenang. Ia sukar digambarkan, namun saya berasa bebas dan hebat.
“Saya membuat keputusan bahawa ini adalah masa untuk saya mengutamakan kesihatan fizikal dan mental. Kita perlu menerima perkara yang tidak dapat diubah,” katanya. – AGENSI