PETALING JAYA – Meskipun bukan kali pertama, pelakon popular Fizo Omar mengakui air matanya menitis saat melihat pengorbanan isteri tercinta, Fazeera Nazri melahirkan bayi perempuan mereka pada 25 Jun lalu.
Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, air matanya mengalir ketika melihat isterinya bertarung nyawa melawan rasa sakit ketika melahirkan anak secara normal.
Namun, pelakon drama Pengantin Satu Malam itu bersyukur kerana mereka membuat keputusan tepat iaitu mengambil suntikan bius epidural untuk mengurangkan rasa sakit sepanjang tempoh kontraksi.
“24 Jun lalu, isteri dimasukkan ke dalam dewan bersalin dan mengambil masa hampir 10 jam untuk melahirkan bayi kami.
“Nasib baik kami ambil suntikan bius epidural, kalau tidak memang tak sanggup lihat dia menganggung kesakitan sebelum bersalin.
“Gugur air mata jantan seorang suami apabila melihat orang tersayang menahan sakit dan bertarung nyawa melahirkan zuriat kita,” katanya dalam satu entri Instagram.
Tidak terhenti di situ, dia memberitahu air matanya sekali lagi gugur apabila melihat bayi perempuannya buat pertama kali selepas dilahirkan.
“Pada 25 Jun, air mata jantan sekali lagi gugur. Perasaan terus bertukar gembira, sedih dan sebak ketika pertama kali melihat anak yang dinanti-nanti selama ini.
“Ketika ini memang tak boleh tahan perasaan sampai menggigil tangan ketika diminta memotong tali pusat bayi.
“Pada waktu itu, muncul satu bisikan ‘ini zuriat kau, jadi ayah dan suami dan contoh yang baik kepada keluarga,” kongsinya lagi.
Bukan itu sahaja, anak kelahiran Kelantan itu turut menitipkan pesanan kepada mana-mana lelaki yang akan bergelar seorang bapa agar sentiasa berada di samping isteri pada saat getir.
“Pesanan saya kepada suami dan bakal ayah, ambillah momen ini bukan sahaja untuk berada bersama dengan isteri tetapi juga diri sendiri.
“Bukan mudah nak buang ego sebagai lelaki dan ketua keluarga.
“Kadang-kadang pengalaman juga buat kita faham mesej yang hendak disampaikan daripada Allah yang buat kita bergelar ayah dan suami,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Fizo berkongsi berita gembira selepas Fazeera selamat melahirkan cahaya mata sulung di sebuah pusat perubatan swasta di Selangor pada 25 Jun lalu.
Kelahiran anak pertama Fizi dan Fazeera sekali gus menjadikan Fizo bapa kepada dua orang puteri, puteri nombor satu, Maryam lahir menerusi perkahwinan terdahulu.
Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober 2021 di Janda Baik, Pahang.
Fizo sebelum ini pernah menrdirikan rumah tangga dengan usahawan etrkenal, Mawar Karim namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE