fbpx

Tiga beranak tinggal beg tangan dalam kereta rugi RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta jenis Perodua Axia yang dipecahkan semasa mangsa menunaikan solat subuh di Masjid I'tikaf Yakubiyyah, Machang kelmarin. /FOTO IHSAN POLIS

MACHANG – Tiga beranak mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila beg tangan mereka dilarikan pencuri yang memecah sebuah kereta semasa jemaah sedang menunaikan solat subuh di Masjid I’tikaf Yakubiyyah, Batu 25, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata, kejadian disedari salah seorang mangsa yang merupakan peniaga berusia 23 tahun kira-kira pukul 6 pagi selepas dia, ibu bersama adik dan tiga saudara selesai menunai solat subuh di masjid berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati, mereka dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Bentong, Pahang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelum singgah di masjid berkenaan kira-kira pukul 4.45 pagi.

“Mereka dipercayai menuju ke Bentong untuk merawat ibu salah seorang mangsa yang sakit.

“Selepas menunaikan solat subut, salah seorang mangsa mendapati cermin bahagian penumpang hadapan pecah sebelum mendapati tiga buah beg yang ditinggalkan hilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM10,000 melibatkan wang tunai, barang kemas, telefon pintar, kunci rumah, kunci kereta dan dokumen penting.

Katanya, ketiga-tiga mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI