fbpx

TH sumbang 40 van serbaguna untuk kegunaan ahli kariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris (tiga dari kiri) bergambar selepas sesi penyerahan sumbangan replika kunci van kepada wakil penerima pada Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang sebanyak 40 buah van serbaguna kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta rumah kebajikan terpilih di seluruh negara dengan peruntukan bernilai RM5.4 juta menerusi program Mobiliti Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan kenderaan dwi-fungsi itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH bertujuan memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam pengurusan jenazah terutamanya masjid yang memerlukan di kawasan luar bandar.

“Melalui program Mobiliti ini, TH menyumbang kenderaan dwi-fungsi yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga dijadikan sebagai van penumpang bagi kegunaan ahli kariah ketika melakukan aktiviti bermanfaat.

“Para penerima menerusi program ini telah dicalonkan oleh TH negeri dari seluruh negara berdasarkan kepada kategori iaitu masjid, surau, pusat tahfiz dan rumah kebajikan yang berdaftar,” katanya selepas Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Dataran Kompleks Islam di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata, sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2016, sebanyak 96 buah kenderaan telah disumbangkan yang memanfaatkan lebih 300,000 ahli kariah.

Jelas beliau, pada awalnya sumbangan yang dibuat adalah kepada masjid-masjid yang memerlukan kenderaan untuk pengurusan jenazah dan aktiviti kariah setempat.

“Namun bermula tahun lalu, program tersebut telah diperluas meliputi badan-badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat penjagaan orang kurang upaya berikutan banyak badan-badan kebajikan di negara ini tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk para penghuni mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI