SELEPAS dua tahun tidak dianjurkan, Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia akhirnya kembali berada dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan bakal membuka tirainya esok.
Situasi itu nyata berjaya membakar semangat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang bakal membuat penampilan sulung pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu.
Thinaah yang merasai pengalaman beraksi di hadapan ribuan penonton ketika menyertai Terbuka Indonesia sebelum ini mengharapkan situasi sama menjelang Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil nanti.
“Saya fikir ini adalah pengalaman berharga buat kami berdua untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri kerana ketika kejohanan di Indonesia sebelum ini, kami sudah merasainya.
“Kami dapat rasakan aura itu sehingga menjadi pembakar semangat buat kami di dalam gelanggang, jadi saya harap perkara sama pada kejohanan Terbuka Malaysia nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi ujian gelanggang di Arena Axiata semalam.
Sebagai rekod, beregu yang berada pada ranking ke-10 dunia itu menampilkan aksi cukup konsisten dalam saingan musim ini apabila dua kali melangkah ke separuh akhir dan suku akhir.
Ketika ditanya mengenai pertemuan menentang wakil China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting di pusingan pertama esok, Thinaah enggan meletakkan sasaran spesifik, sebaliknya mahu fokus dalam usaha menampilkan aksi terbaik terlebih dahulu.
“Bagi aksi pusingan pertama, kami hanya fokus untuk berikan aksi terbaik sahaja. Oleh itu, saya fikir pendekatan fokus terhadap satu demi satu perlawanan adalah langkah terbaik.
“Kami juga sudah menguji gelanggang hari ini (semalam) dan semuanya berjalan lancar. Saya fikir kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mulakan saingan di Terbuka Malaysia kali ini,” ujar Thinaah.