fbpx

‘Tak dapat zuriat, Tuhan bagi rezeki lain’ – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BETO KUSYAIRY

KEDENGARAN klise, namun melihatkan kebahagiaan dan kebersamaan aktor Beto Kusyairy bersama suri hatinya tanpa kehadiran benih cinta bersama zuriat, soalan tipikal tersebut diberanikan meluncur dalam satu pertemuan, minggu lalu.

Zuriat dan penantian, itulah juga soalan yang lazim diajukan buatnya. Mujur, lelaki yang selalu hadir dengan watak serius itu tidak menunjukkan reaksi kurang senang.

Dia bahkan bersahaja sambil mulanya enggan hal keluarga mengisi penulisan.

Akui Beto, sejak mendirikan rumah tangga sekitar 14 tahun lalu iaitu pada 2008, seri dalam rumahnya seakan-akan kosong tanpa kehadiran cahaya mata yang belum dikurniakan buatnya.

Langsung tidak menyalahkah takdir ataupun menuding jari tanda tidak adil kepada Maha Esa, Beto tenang meneruskan kehidupan bersama isteri tanpa kenal erti putus asa.

LELAKI berusia 42 tahun ini menyerahkan dan meletakkan segala ketentuan rezeki, khasnya zuriat kepada Allah.

“Kalau dikira, 14 tahun dah saya kahwin dan jadi suami, tapi rezeki untuk memiliki cahaya mata masih belum jadi hak kami.

“Tapi tak mengapalah, tiada rezeki anak, Allah beri rezeki lain kepada kami berdua. Kesihatan, kasih sayang, makan minum mencukupi, boleh bekerja itu semua rezeki,” katanya membuka bicara kepada HibGlam.

Berpeluang bertentang mata dengan aktor hebat Malaya sewaktu sesi penggambaran khas mempromosikan filem terbaharunya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Beto cukup tenang menjawab soalan bersulam jenaka.

Kata Beto, dia bukan tidak berusaha untuk dapatkan zuriat, tetapi akur rezeki masih belum kunjung tiba.

“Nak kata tak usaha, macam-macam cara saya dan isteri dah cuba. Daripada rawatan Islam, moden sampailah tradisional semuanya sudah kami jalani.

“Tetapi mungkin memang Tuhan dah kata masih belum tibanya lagi waktu untuk kami bergelar ayah dan ibu, jadi kami serahkan semuanya kepada-Nya.

“Seperkara lagi, saya bersyukur kerana memiliki kedua-dua belah keluarga termasuk mentua yang cukup memahami dengan situasi kami.

“Mereka tidak memaksa, menekan atau sering mengajukan soalan sama berhubung anak,” tuturnya.

Teruja, cabaran getir

Tutup rapi soal zuriat yang diserahkan bulat-bulat kepada Maha Pencipta, Beto teruja saat namanya dipilih pengarah terkenal, Syamsul Yusof sebagai salah satu teraju utama dalam Mat Kilau.

Kata Beto, walaupun ramai orang industri mengenalinya sebagai seorang yang cukup selektif dalam memilih sebuah naskhah, namun tidak bagi filem epik kepahlawanan Melayu tersebut.

BAGI Beto, cabaran menjayakan watak Wahid tidaklah sesukar yang difikirkan, tetapi menuntut penghayatan tersendiri dan untuk dijayakannya sebaik mungkin.

“Pertama kali mendapat tawaran sekitar empat tahun lalu, saya sendiri terkejut dan memikirkan adakah saya boleh membawakan filem bergenre seperti itu.

“Filem Mat Kilau jauh berbeza bagi saya kerana watak fiksyen yang saya cuba sampaikan tidak sama sekali dengan puluhan filem atau drama yang pernah saya jayakan sebelum ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai cabaran menjayakan filem tersebut, penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2015 itu bagaimanapun berharap kehadiran naskhah sarat perjuangan tersebut akan memberi inspirasi kepada para pengarah dan kepada semua penonton.

BUKAN soal siapa menyerlah dan mampu menang anugerah, Beto menyifatkan mesej sama ada tersirat mahupun tersurat menerusi filem Mat Kilau yang lebih utama.

“Saya mengharapkan filem ini akan membuatkan pembikin lain lebih bersemangat untuk menghasilkan filem epik yang lebih baik.

“Bukan itu sahaja, saya berharap agar filem Mat Kilau akan menjadi satu momentum untuk orang ramai kembali ke panggung, seterusnya memberi galakan kepada industri menghasilkan lebih banyak filem genre sebegitu selepas ini,” tuturnya lagi.

Ditebak mengenai watak Wahid yang dibawanya dalam Mat Kilau bakal melayakkannya menggenggam sebarang anugerah, Beto hanya tersenyum sebelum memberi respons.

“Ketika menjayakan sebarang projek, saya tidak pernah berharap untuk menang anugerah. Itu prinsip saya.

“Namun, saya tetap mengharapkan filem ini akan pergi sejauh mungkin di pelosok dunia dan mampu mengangkat nama Malaysia ke peringkat yang lebih jauh.

“Saya berdoa agar penonton dapat menerima hasil kerja saya dan rakan-rakan dalam filem ini. Apa pun mesej Mat Kilau ini yang lebih utama, bukan saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI