APLIKASI penstriman hiburan tempatan, Sooka meraikan sambutan ulang tahun pertama penubuhan menerusi sambutan Sooka Dah Besar Sekarang yang diadakan di RexKL baru-baru ini.
Sambutan ulang tahun pertama tersebut turut meraikan pengembangan ke televisyen pintar (TV pintar) dengan pelancaran Sooka VIP TV, sekali gus turut memperkenalkan siri original kedua Sooka berjudul Hantu Raya Pergi Perang.
Ketua Rancangan Sooka, Emarina Kamal berkata, setahun selepas pelancaran aplikasi penstriman berkenaan Malaysia pada tahun lalu, pelaksanaan tersebut telah dijalankan pada masa yang tepat ekoran lebih banyak kandungan tempatan telah dihasilkan, termasuk acara sukan untuk dinikmati penonton.
“Sooka mempunyai sekitar 71 peratus pengguna yang menikmati kandungan menggunakan peranti mudah alih. Melalui Sooka VIP TV, kami ingin meraih lebih ramai penonton yang memilih penstriman kandungan kegemaran pada TV pintar mereka.
“Menerusi Sooka, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan dan kemudahan untuk memilih kandungan kegemaran dan menontonnya pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.
Selain itu, pelan langganan Sooka VIP TV turut diwujudkan melalui kerjasama dengan jenama TV pintar seperti Samsung, LG, Sharp dan Sony. Dari situ, pengguna boleh memuat naik aplikasi Sooka menerusi model TV pintar daripada jenama-jenama tersebut.
Dengan harga langganan sebanyak RM84.90 sebulan, Sooka turut menawarkan promosi berterusan, ‘beli 1 bulan, percuma 1 bulan’ yang bakal berakhir pada 15 Julai 2022.
Promosi tersebut membolehkan pelanggan Sooka VIP TV menerima langganan percuma pada bulan kedua.
“Pencapaian selama satu tahun telah menunjukkan perkembangan posisi kami sebagai aplikasi penstriman hiburan yang membolehkan pelanggan menstrim menerusi peranti mudah alih kepada penstriman di skrin besar.
“Sejak ditubuhkan, kami telah berjaya mendaftar sebanyak 1.5 juta muat turun aplikasi, 556 juta minit kandungan hiburan dan sukan serta melancarkan dua siri original, termasuk siri baharu iaitu Hantu Raya Pergi Perang,” tambah Emarina.
Siri original Hantu Raya Pergi Perang yang dibintangi oleh Hun Haqeem, Sharifah Sakinah, Rashidi Ishak, Syean Mokhtar dan Iman Corinne akan menemui peminatnya di Sooka bermula pada 24 Jun 2022.
Karya arahan Wan Hasliza dan Wan Alak, penyandang anugerah menerusi siri Keluarga Iskandar itu memaparkan kisah masyarakat kampung yang masih mempunyai kepercayaan kuat terhadap legenda hantu dan cerita rakyat.
Diterbitkan melalui usahasama dengan syarikat produksi tempatan, KL Motion, siri sebanyak lapan episod itu merupakan kandungan premium di bawah pelan sooka VIP Entertainment dan bakal ditayangkan secara eksklusif di Sooka.
Menariknya, pelanggan Sooka VIP TV boleh menonton satu episod secara percuma pada 24 Jun 2022.
Pelan langganan sooka terdiri daripada VIP Entertainment, VIP+Sports dan VIP TV, masing-masing pada harga RM15.90, RM41.90 dan RM84.90 sebulan.
Untuk menikmati Sooka dan menonton aksi sukan kegemaran anda secara langsung, muat turun aplikasi Sooka di aplikasi Apple Store atau Google Play Store (untuk aplikasi mudah alih) dan Samsung, LG, Sharp dan kedai aplikasi Sony (untuk VIP TV).
Semua pelan langganan Sooka tidak terikat dengan kontrak dan tanpa komitmen.
Untuk makluman terkini dan promosi, jangan lupa mengikuti sooka di Facebook sooka Malaysia) dan Instagram @sookamalaysia atau kunjungi https://sooka.my/en/.