SELEPAS tiga bulan berkahwin, kehidupan pasangan pelakon terkenal Hyun Bin dan isterinya, Son Ye-jin bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata sulung.
Berita gembira dan mengujakan tersebut dikongsikan sendiri oleh Ye-jin, 40, menerusi satu hantaran dalam Instagramnya hari ini.
Memulakan kapsyen dengan sapaan mesra buat peminat, Ye-jin teruja memberitahu kepada semua tentang berita gembira yang ingin dikongsikannya.
“Kalian baik-baik sahaja kan? Saya baik-baik sahaja. Hari ini, dengan hati-hati saya ingin berkongsi khabar gembira.
“Satu kehidupan baharu telah datang dalam hidup kami. Saya masih bingung tetapi setiap hari ada rasa perubahan pada tubuh badan seperti kebimbangan dan keterujaan,” tulisnya.
Tidak bermaksud menyembunyikan, dramatis itu berkata, baru sekarang dia tampil mengumumkan khabar gembira tersebut termasuk kepada orang-orang terdekatnya.
“Saya sangat bersyukur tetapi sangat berhati-hati jadi saya belum dapat beritahu orang-orang terdekat.
“Sebelum terlambat, saya kongsikan berita gembira ini bersama peminat dan kenalan yang pasti sudah menunggu sama seperti kami. Kami akan menjaga dengan baik nyawa yang sangat berharga ini,” katanya lagi.
Perkongsian Ye-jin pantas dihujani ucapan tahniah daripada peminat di seluruh dunia yang meraikan berita kehamilannya dengan cukup teruja.
Untuk info, Ye-jin dan Hyun Bin mengumumkan mereka berpacaran pada Januari 2021.
Pasangan drama popular Crash Landing on You itu kemudian mendirikan rumah tangga pada Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup di Seoul. – KOSMO! ONLINE