PETALING JAYA – Pelakon cantik Ruhainies mengakui selesa berkelakuan manja dan mesra bersama mana-mana aktor lelaki yang bergandingan dengannya dalam menjayakan sesebuah naskhah.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilya berkata, penting baginya untuk mewujudkan keserasian selain memudahkan kerjasama antara pelakon tanpa ada rasa canggung.
“Kalau di lokasi penggambaran, saya bukan hanya rapat dan manja dengan pelakon lelaki atau hero sahaja, tetapi mesra juga dengan semua pelakon lain termasuk kru produksi.
“Tiada istilah gedik atau dibuat-buat. Apa yang ditunjukkan, itulah diri saya yang sebenar. Itulah sifat saya.
“Mereka yang pernah bekerja dengan saya pasti tahu perangai saya yang satu tu (manja). Bagi saya, tiap kali datang ke lokasi penggambaran, mood kena ada, barulah orang lain pun happy (gembira) juga,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu, selain mencipta keserasian bersama, dia juga tidak mahu mana-mana individu di set penggambaran takut, segan atau kekok dengannya.
“Saya memang nak orang mudah rasa selesa dan tak malu dengan saya.
“Tak mahulah orang rasa janggal atau takut-takut dengan kita. Kalau boleh saya tak nak situasi sebegitu terjadi ketika bekerja,” ujarnya.
Terdahulu, hangat diperkatakan netizen mengenai gosipnya bersama pelakon Zul Ariffin berikutan hubungan mesra yang dipaparkan dalam media sosial.
Sebelum ini, adik kepada pelakon Risteena Munim itu juga kerap berkongsi kisah cintanya bersama jejaka yang dikenali sebagai Mr. E dalam media sosial hingga mengundang persoalan dan cakap-cakap netizen.
Namun, sejak kebelakangan ini, dia jarang sekali berkongsi perihal mengenai kekasihnya itu sekali gus mengundang persoalan, adakah hubungan mereka sedang berantakan atau telah menemui titik noktah.
Ruhainies dalam satu kenyataan sebelum ini juga mengakui sedang bahagia menyulam cinta dengan jejaka itu dan ada merancang untuk ke fasa perkahwinan tetapi bukanlah dalam waktu terdekat.
Dia juga serik dikecam akibat kisah cinta, bimbang kerjayanya dipandang sebelah mata.