ALOR SETAR – Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail, 74, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Menurut anaknya, Mohamad Yusrizal yang juga Setiausaha Kehormat persatuan itu, bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.15 pagi selepas lebih sebulan ditempatkan di unit rawatan koronari (CCU) HSB.
Katanya, bapanya melakukan pemeriksaan kesihatan rutin di hospital itu pada 16 Mei lalu sebelum mengalami sesak nafas.
“Bapa sebelum ini memang sihat dan tiada apa-apa penyakit, namun ketika berada di hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan rutin, dia tiba-tiba sesak nafas dan segera dimasukkan ke zon merah.
“Sejak itu bapa terus dimasukkan ke CCU untuk diberikan rawatan intensif sebelum kesihatannya merosot sehingga terpaksa ditidurkan pada 23 Mei lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam,” katanya di sini hari ini.
Yusoff yang memimpin Cake sejak 1998 meninggalkan isteri, Datin Latifah Mansor serta lima anak.
Allahyarham sebelum ini cukup lantang memperjuangkan hak serta isu-isu kepenggunaan dengan legasinya itu kini diteruskan oleh Mohamad Yusrizal.
Mengulas lanjut Mohamad Yusrizal berkata, beliau akan menyambung perjuangan bapanya dalam menegakkan hak-hak pengguna memandangkan perkara itu telah disematkan dalam jiwanya sejak bangku sekolah. – KOSMO! ONLINE