SHAH ALAM – Sikap jujur seorang lelaki di sini wajar dipuji apabila memohon keluar daripada golongan asnaf setelah mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) genap usia 55 tahun.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam hantaran di Facebook rasminya memaklumkan permohonan itu dilakukan menerusi surat daripada lelaki itu pada Jumaat lalu kepada Cawangan LZS Kajang.
“Tarbiah serta kejujuran itu, jelas bagi insan yang Allah pilih.
“Menyedari hakikat serta kelayakannya, seorang asnaf telah menghubungi pegawai dan menyatakan hasratnya untuk keluar dari asnaf setelah mengeluarkan KWSP genap usia 55 tahun,” katanya hari ini.
LZS turut memaklumkan lelaki itu tekad dengan kemampuan yang ada untuk keluar dari asnaf walaupun masih menyara anak yang belajar.
Tambahnya, lelaki itu berharap dengan keluar dirinya dari asnaf dapat membantu orang lain yang lebih layak.
“Begitulah, kesedaran serta kejujuran amat penting kerana wang zakat yang disalurkan ini, bukan sewenang-wenangnya untuk diagihkan.
“Kita berpandukan kepada Al-Quran, hanya lapan golongan sahaja yang berhak untuk menerima wang zakat ini iaitu golongan fakir, miskin, amil, muallaf, gharimin, riqab, fisabilillah dan ibnu sabil. Tiada kurang, tiada tambah,” jelasnya.
Ini adalah kali kedua permohonan keluar asnaf tular menerusi hantaran LZS dengan kali pertama pada bulan lalu.
Kosmo! pada 12 Mei lalu melaporkan LZS memuji tindakan seorang individu memaklumkan ingin menghentikan bantuan yang diterima kerana telah stabil.-KOSMO! ONLINE