GEORGE TOWN – Pembonceng wanita yang terjatuh setelah dihempap sebiji buah kelapa di tepi Jalan Teluk Kumbar di sini semalam dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang hari ini.
Mangsa, Anita Yahaya, 59, dikatakan mengalami kecederaan retak pada tulang rusuk dan bahu kiri.
Abangnya, Shaari Yahaya, 60, ketika dihubungi Kosmo! di sini berkata, adiknya kini stabil dan masih dalam pemantauan doktor.
“Dia masih boleh bercakap dan kini berada di wad Hospital Pulau Pinang,” katanya ringkas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, mangsa dikatakan sedang membonceng motosikal bersama anak perempuannya dari Titi Teras ke rumah mereka di Teluk Kumbar.
Kejadian tersebut turut dirakam menerusi satu rakaman kamera papan kemuka (dashcam) kereta seorang pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE