fbpx

Liga M bukan ‘perosak’ karier pemain muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI Luqman Hakim Shamsudin ketika diturunkan dalam perlawanan persahabatan.
MOHD. FITRIE MUHAMMAD, Wartawan Eksekutif Kosmo!

ARENA bola sepak negara bulan ini dipenuhi dengan cerita warna-warni dan rakyat Malaysia masih lagi mengukir senyuman apabila Harimau Malaya melakar sejarah selepas layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama sejak 42 tahun lalu.

Kualiti yang dipersembahkan pemain muda seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid seakan menambah perisa kepada kejayaan skuad negara selepas mencetus sensasi sebagai watak penting buat Harimau Malaya.

Hakikatnya, bukan tiga nama itu sahaja, Malaysia masih memiliki banyak ‘ubi muda’ berbakat termasuk dua bintang yang sedang berkelana di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin (kelab Belgium, KV Kortrijk) dan Hadi Fayyadh Abdul Razak (kelab Jepun, Azul Claro Numazu).

Namun, sudah ada kebimba­ngan terhadap perkemba­ngan potensi Luqman dan Hadi berdepan kesukaran untuk mendapatkan minit permain bersama kelab diwakili, malah tidak keterlaluan kedua-duanya juga sedang dihimpit dilema.

Untuk mendapatkan minit permainan, kedua-duanya ada tiga kemungkinan iaitu kekal de­ngan kelab sedia ada, menurunkan ego beraksi bersama kelab di divisyen lebih rendah ataupun pulang ke Malaysia.

Dari segi kemahuan, dua pemain itu wajar dipuji kerana mampu bertahan di negara asing tetapi persoalan lain adakah ia berbaloi sekadar berlatih tanpa berpeluang menterjemah ilmu dipelajari di dalam padang?

Melihat situasi itu, mencari kelab di divisyen lebih rendah dan pulang ke Malaysia menjadi pilihan terbaik bagi mengelak potensi ‘padam’ lebih awal.

Namun, keputusan pulang dan sertai kelab Malaysia mungkin tidak popular dan ada yang melabel sebagai langkah ke belakang tetapi ketika usia masih muda ia mungkin jalan terbaik.

“Kalau duduk di luar dan tidak dapat bermain pun susah. Kalau bercita-cita tinggi, minit permainan adalah benda penting, namun jika cepat berpuas hati, ia adalah satu kerugian.

“Hendak maju, lebih baik pu­lang kerana jika ini hasilnya, orang akan jadikan isu. Ada pro dan kontra, namun segalanya bergantung kepada pemain itu sendiri,” kata pemerhati sukan tahah air, Dr. Pekan Ramli.

Oleh itu, tidak salah untuk kembali ke Liga Malaysia dan ia bukanlah penamat kepada karier mereka kerana saingan domestik juga makin berkembang.

Lihat sahaja nasib yang berlaku di Johor Darul Ta’zim (JDT), di sebalik deretan bintang yang dimiliki, masih ada yang tidak dapat bermain dan ia membuktikan tahap persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama­ pasukan cukup tinggi.

Lihat semula keadaan yang di­lalui Arif Aiman, bermula dari­pada ‘nobody’, kini menjadi ‘somebody’ hingga muncul sebagai tonggak penting pasukan malah berjaya menarik minat kelab luar.

Jika kekal dengan keputusan untuk berkelana di bumi asing, harus ada pihak lain yang tampil menghulurkan bantuan kepada pemain sekali gus tujuan asal penghijrahan sebelum ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Bagi Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),­ Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim, apa juga keputusan yang akan dibuat oleh pemain, segala­nya harus berpaksikan kepada tujuan asal mereka.

“Kalau di Eropah, pemain dapat banyak belajar tetapi masalah apabila tidak dapat bermain. Sebenarnya kita diibaratkan mahu tembak dua burung menggunakan satu peluru.

“Gunakan kelebihan untuk cari kelab yang boleh beri pe­luang mereka bermain. Apa tujuan kita belajar? Tetapi bila sudah belajar, sepatutnya kita perlu terjemahkan segala ilmu yang kita ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI