PUTRAJAYA – Sarjana tempatan disarankan agar terus aktif mempromosikan lagi khazanah kehebatan Alam Melayu ke pentas dunia sebagai antara alat bagi diplomasi budaya negara.
Pandangan itu disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah malah mengakui kekayaan Alam Melayu kini dijadikan aktiviti dasar luar yang diberikan tumpuan oleh Wisma Putra.
Sambil memberi contoh orang Barat mempunyai alam mereka tersendiri, walhal Alam Melayu jauh ‘lebih kaya’ dan boleh dijadikan fokus sarjana Malaysia bagi dikongsi sebagai diplomasi budaya.
“Kerja sebegini tidak dapat dilakukan andai tiada kandungan kerana kami di Kementerian Luar cuma jurubicara negara, dan sepatutnya dasar luar itu bermula dari laman sendiri,” katanya ketika berucap secara rakaman bagi merasmikan Persidangan The Inaugural Global Malaysia Studies Network (GMSN) anjuran Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Pada acara itu, beliau turut melancarkan buku ‘Readings on Malaysia: Selected Essays’ tulisan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang disusun Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.
Mengulas persidangan itu yang bertemakan ‘Reimagining Malaysian Studies in a Post-Pandemic World,’ Saifuddin berkata, ia selaras diplomasi budaya yang digerakkan pihak kementerian.
Justeru, beliau berharap cendekiawan tempatan berupaya memperkenalkan imej Malaysia melalui saluran diplomasi akademik berdasarkan hasil kajian dan bukti empirikal yang tepat. -KOSMO! ONLINE