KEMATANGAN dan kemampuan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk atasi tekanan di Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini bakal sekali lagi teruji ketika aksi kedua menentang kelab Filipina, Kaya FC di Stadium Kapten I Wayan Dipta malam ini.
Berdasarkan apa yang dipersembahkan pada aksi pertama menentang Bali United sebelum ini, pemain KDA FC seakan hilang taring terutamanya selepas tuan rumah memperoleh gol kedua.
“Kami memulakan babak kedua dengan baik, tetapi apabila Bali United jaringkan gol kedua, ia seperti sukar untuk kami bangkit,” kata kapten pasukan, Syazwan Zainon.
Pada perlawanan Jumaat lalu, KDA FC memulakan kempen Kumpulan G dengan langkah kiri selepas tewas 0-2 kepada Bali United dan aksi malam ini bakal menjadi penentu kepada kemampuan pasukan untuk cuba mara lebih jauh.
Mengulas mengenai impak dihadirkan dua import baharu, pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak masih menaruh keyakinan buat Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Al-Mardi.
Ekoran kekangan masa yang dihadapi kedua-dua pemain itu, Aidil merasakan adalah tidak adil untuk terus menghukum kerana setiap pemain profesional memerlukan tempoh untuk serasi dengan pasukan baharu.
“Kami ada dua pemain baharu dan ini adalah perlawanan pertama mereka bersama kami. Mereka datang tiga hari sebelum aksi pertama, tetapi saya gembira melihat aksi kedua-duanya.
“Walaupun berdepan kekangan, mereka masih beri yang terbaik, namun mereka tetap memerlukan masa,” katanya.