fbpx

Jatuh bumbung stadium, solat subuh jadi kenangan terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nor Azuha bersama anak-anaknya melihat gambar kenangan arwah Zulhilmi ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Seri Orkid, Skudai, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Ciuman ta­ngan selepas solat subuh berjemaah menjadi kenangan ter­akhir buat seorang balu apabila suaminya dijemput Ilahi selepas terjatuh ketika melakukan kerja pembersihan bumbung Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini, dua minggu lalu.

Siti Nor Azuha Abdullah, 35, berkata, suaminya, Zulhilmi Jufri Johari, 35, menunjukkan perubahan sikap ketara itu seolah-olah ‘ingin’ mencipta kenangan sebelum meninggal dunia.

Zulhilmi, 35, dan rakan sekerjanya, Syed Haidar Syed Salleh, 34, ditemui meninggal dunia pukul 12.30 tengah hari, 13 Jun lalu selepas terjatuh dari bumbung semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di SSI di sini dan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pada hari kejadian, dia (Zulhilmi) mengajak saya dan anak-anak menunaikan solat subuh berjemaah.

“Sebelum ini kami solat berasingan, tapi hari itu dia macam beria mengajak kami solat sama-sama, saya tidak sangka itu antara kenangan indah ketika suami masih ada.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi, suami dijemput dalam kea­daan dia masih ‘berjihad’ mencari nafkah untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Orkid, Skudai di sini semalam.

Jelas Siti Nor Azuha yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan, suaminya mula menunjukkan perubahan sikap itu sejak seminggu sebelum kejadian apabila banyak termenung dan berubah menjadi pendiam.

“Sebelum ini dia tidak macam itu, suami banyak bercakap dan bermain dengan anak-anak. Dia juga banyak titip pesanan supaya saya menjaga anak-anak dengan baik, jika dia sudah tiada.

“Anak-anak masih terkesan, yang ketiga sering tanya bila ayahnya nak balik,” katanya.

Terdahulu, Siti Nor Azuha menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah serta Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Tong Sing Chuang.

Pada majlis itu, Mohd. Hairi menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan bantuan makanan selain memaklumkan keluarga berkenaan akan menerima Fadeah Orang Tanggungan sebanyak RM3,030 bermula bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI