PUTRAJAYA – Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kadar inflasi di negara ini boleh mencecah 11.4 peratus sekiranya kerajaan menghapuskan semua subsidi yang dinikmati rakyat ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika ini, kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus bagi Mei berbanding 2.3 peratus dan 2.2 peratus pada April juga Mac lalu.
Beliau berkata, jumlah RM77.3 bilon subsidi yang diberikan kerajaan ketika ini penting bagi menstabilkan harga bagi petrol, diesel, minyak masak, ayam, telur dan gas petroleum cecair (LPG).
“Kita cukup sedar bahawa rakyat mengeluh dengan kenaikan harga barangan ketika ini dan kita juga harus sedar bahawa tanpa subsidi kerajaan, kadar inflasi akan meningkat.
“Justeru, kita harus bersyukur dengan agihan subsidi yang begitu besar diumumkan kerajaan.
“Jadi, kita ada dua pilihan, jika kita hapus subsidi, rakyat akan tertekan dan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik namun, kerajaan memilih untuk menjaga kesejahteraan rakyat, ” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Statistics Data Warehouse (StatsDW) 2.0, di sini hari ini.
Ditanya sama ada kadar defisit negara akan terus meningkat susulan agihan subsidi terbesar dalam sejarah negara itu, Mustapa berkata, ketika ini, kerajaan masih mengekalkan kadar defisit enam peratus peratus tahun ini.
“Kerajaan perlu melihat kepada langkah-langkah penjimatan termasuk mengurangkan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sekiranya krisis ekonomi berlarutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE