fbpx

Hilang dua kaki, penglihatan kabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALEMI hilang kedua-dua belah kakinya akibat penyakit kencing manis ketika ditemui di rumahnya di Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Seorang lelaki bukan sahaja diuji dengan ke­dua-dua belah kaki dipotong, malah penglihatannya turut terjejas akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang yang dihidapi sejak 2014.

Walaupun pada mulanya berat untuk Alemi Abdul Manap, 40, untuk menerima dugaan itu, namun kini dia lebih tenang.

“Pada 2014, kaki kiri dipotong selepas membengkak dan lama-kelamaan menjadi kemerahan dan bernanah. Ketika itu doktor mengesan saya ada pe­nyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Bermula dari situ, berlaku komplikasi lain apabila mata mulai kabur dan disahkan meng­alami masalah buah pinggang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kelab Tuanku Mambau di sini semalam.

Alemi kini tinggal sendirian di rumah pusaka itu, namun anak saudaranya datang menjenguk dan membantu mengurus keperluannya pada setiap minggu.

Menurutnya, dalam keadaan fizikal yang serba kekurangan, dia diuji masalah rumah tangga apabila berpisah dengan isteri dan dua anaknya yang berusia 13 dan 17 tahun selepas dibenarkan keluar dari hospital pada 2014.

“Memang rasa hilang sema­ngat. Kami berpisah secara baik, saya cuba bangkit, namun ayah pula meninggal dunia pada tahun sama menyebabkan hidup gelap seketika,” katanya.

Alemi memberitahu, dalam tempoh sukar itu, dia tinggal sebatang kara di kampung halamannya di Kuala Pilah dan pernah mengalami strok di bahagian kanan badan sehingga dimasukkan ke hospital selama dua tahun dari 2018.

“Saya mengalami strok dan penglihatan makin kabur kerana tidak pernah membuat rawatan susulan.

“Masalah buah pinggang juga semakin teruk, saya perlu membuat dialisis tiga kali seminggu dan bergantung kepada tiub air kencing seumur hidup,” katanya yang memberitahu tiub itu berharga RM37 dan boleh digunakan dua bulan sekali

Tambah Alemi, dia yang tidak bekerja menerima elaun orang kelainan upaya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

“Jika diikutkan, kos perubatan termasuk pengangkutan, lampin pakai buang dan tiub lebih kurang RM800 sebulan, manakala kos dialisis pula RM510 sebulan yang ditanggung oleh pihak Baitulmal.

“Penglihatan mata sebelah kanan kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan kanta yang juga dibiayai oleh Baitulmal,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menghubungi Alemi di talian 013-6684618 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0500241000066101 (Alemi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI