PETALING JAYA – Baru-baru ini tular sebuah rakaman memaparkan tindakan seorang wanita Orang Asli sedang memarahi seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan mencerobohi kawasan perkampungan mereka.
Difahamkan, wanita berkenaan dengan berani bersemuka dengan individu tersebut yang disyaki datang ke kawasan perkampungan Orang Asli untuk menjalankan sebuah ‘projek’ sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan mereka.
“Saya tidak takut sebab saya tak pergi kacau orang bandar, tak pergi kacau Datuk.
“Datuk yang kacau Orang Asli, tak cukup makan lagi ke Datuk dekat bandar?,” soalnya.
Dalam pada itu, wanita tersebut turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu terbabit kerana tidak mempedulikan kebajikan Orang Asli di sana sehingga ingin terus menindas mereka yang sememangnya hidup dalam kesusahan.
“Orang Asli nak cari makan satu hari nak dapat RM20 pun susah, kalau tidak percaya pergi sana tengok rumah, awak boleh hidup macam Orang Asli?.
“Tanggal baju awak orang (kalian), pakai baju Orang Asli, makan cara kita orang (kami), ini nak cari ikan pun susah, kawasan sungai kami dikacau, kami nak kena makan biji sawit?,” luahnya.
Tambahnya lagi, banyak pihak telah datang sebelum ini dan menjanjikan keselesaan buat penduduk Orang Asli, namun sehingga kini masih tiada apa-apa perubahan.
“Dah banyak kali dah kami tunggu, dia cakap nanti, tapi tak ada pun, kesabaran kami ada tahap,” katanya. – KOSMO! ONLINE