LONDON – Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin membidas pengurus ternama dunia yang sering mengeluh mengenai jadual perlawanan domestik dan antarabangsa apabila merasakan jumlah aksi perlu sepadan dengan komitmen profesional.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp (Liverpool) secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap jumlah perlawanan yang terpaksa diharungi, malah UEFA juga turut menerima tempias ekoran penstrukturan semula aksi Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Ceferin mempertahankan tindakan UEFA dan melabel rungutan itu seakan menunjukkan kelab tidak berada dalam keadaan bersedia.
“Agak senang untuk menyerang FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan UEFA, tetapi hakikatnya juga mudah. Jika kamu kurang bermain, kamu juga akan dapat ganjaran yang sedikit.
“Mereka yang patut merungut adalah pekerja kilang kerana mereka hanya dibayar €1,000 (RM4,649) sebulan. Semua orang mahu menang banyak perlawanan dan tiada siapa pun yang berputus asa,” katanya.
Klopp pernah bercakap mengenai jumlah perlawanan yang terpaksa diharungi barisan bintangnya dan kenyataan itu secara jelas merujuk kepada UEFA.
“Alasan sebenar kenapa saya tidak begitu gembira adalah apabila saya bercakap mengenai UEFA kerana Piala Negara-Negara Eropah. Saya rasa ia satu idea yang tidak masuk akal kerana ada pemain perlu bermain lebih 70 perlawanan,” kata Klopp.
Guardiola juga seakan sependapat hingga tampil dengan cadangan kepada pemain supaya memilih untuk tidak bermain.
“Adakah perlu pemain dan pengurus melakukan mogok kerana kata-kata saja tidak mencukupi untuk mencari penyelesaian. Bagi FIFA, Liga Perdana Inggeris, pihak penyiar dan perniagaan menjadi perkara lebih penting berbanding kebajikan pemain,” ujar Guardiola. – AGENSI