SELEPAS putus cinta dengan Shawn Mendes sekitar tujuh bulan lalu, Camila Cabello tidak mengambil masa lama untuk menemui pengganti.
Dia dikatakan bercinta dengan seorang jejaka berpangkat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bernama Austin Kevitch yang berusia 30 tahun. Lelaki itu merupakan CEO di syarikat aplikasi sosial, Lox Club.
Khabar angin tersebut timbul selepas Cabello dan Kevitch dilihat berjalan-jalan sambil berpimpin tangan di sekitar Los Angeles, Amerika Syarikat.
Gambar mesra mereka kemudiannya tular dalam media sosial selepas dirakam oleh seorang jurugambar yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Bagaimanapun, sehingga kini mereka mengambil pendekatan mengunci mulut tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap dakwaan mengenai hubungan tersebut.
Namun yang pasti, peminat Cabello mula berpecah kepada dua kumpulan apabila ada segelintir tidak menyukai jika penyanyi kesayangan mereka itu benar-benar menjalin hubungan cinta dengan Kevitch.