fbpx

Cadangan harga siling ayam akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet sebelum diumumkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara bersama Alexander (kiri) dan Mohd. Zuki hari ini.

PUTRAJAYA – Cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini sebelum ia diumumkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, harga kawalan baharu itu adalah mengambil kira kepentingan penternak, pemborong dan peruncit bagi memastikan harga yang ditetapkan adalah munasabah bagi semua pihak.

“Bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini juga telah diambil kira.

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai status semasa bekalan makanan negara serta status harga barangan terpilih serta pelaksanaan intervensi pengukuhan sekuriti makanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Menurut Ronald, bekalan ayam diunjur kekal stabil dan mencukupi pada minggu keempat bulan Jun 2022 malah bekalan komoditi lain diunjur kekal stabil dan mencukupi menampung permintaan bulan semasa.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut memaklumkan status terkini barangan harga terpilih dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur.

“Usaha sama rentas kementerian akan diteruskan untuk meminimakan impak beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan komited meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan dan kebolehcapaian bekalan makanan di pasaran dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI