fbpx

Atlet negara dinasihati jaga keselamatan diri – Ahmad Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faizal Azumu (kiri) bertanyakan sesuatu kepada ahli keluarga Sivasangari ketika hadir melawat atlet itu yang sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Atlet negara dinasihatkan agar lebih berhati-hati terutama ketika kian hampir dengan tempoh berlangsungnya Sukan Komanwel dan beberapa temasya sukan utama yang lain.

Pesanan itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sejurus melawat ratu skuasy negara, S. Sivasangari yang cedera selepas terbabit kemalangan awal pagi tadi.

Ahmad Faizal berkata, beliau turut menasihatkan atlet negara supaya tidak perlu keluar ke mana-mana jika tiada keperluan dan sentiasa menjaga keselamatan diri tidak kira dimana sahaja berada.

“Kita sebolehnya tidak mahu sebarang insiden tidak diingini menimpa atlet negara yang sudah mengadakan persiapan sejak sekian lama dan menghalang pula mereka untuk turun bertanding,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya, hari ini.

Katanya, Sivasangari kini masih berada dalam pemantauan pihak hospital dalam beberapa hari ini susulan kecederaan pada bahagian muka.

Jelas Ahmad Faizal lagi, beliau sempat berbual dengan Sivasangari dan dia memberi reaksi positif selain mempunyai semangat kental.

“Ini waktu getir tapi dia amat positif dan saya yakin dia mampu cepat sembuh dalam masa singkat. Keadaan kecederaan yang dialaminya dijangka mengambil masa dua ke tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya dan memerlukan pemantauan,” katanya.

Ujar beliau, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau perkembangan Sivasangara dan ISN akan datang membantu memberi rawatan jika dia tidak dapat sembuh sepenuhnya.

Jelas Ahmad Faizal lagi, pihaknya akan mencari atlet lain untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang Sukan Komanwel pada temasya sukan itu bulan hadapan.

Terdahulu, Sivasangari dilaporkan cedera pada muka dan kepala selepas terbabit kemalangan kereta di Lebuh Raya KL-Putrajaya (MEX), awal pagi semalam.

Pemain rangking ke-19 dunia itu menjadi sandaran utama menyumbang pingat buat Kontinjen Malaysia bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI