SEBERANG PERAI – Polis sudah mengenal pasti kira-kira 30 peserta yang terlibat dalam satu himpunan haram atau ‘Flashmob Turunkan Harga Barang’ yang diadakan berhampiran bulatan Seberang Jaya dekat sini kira-kira pukul 5 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain peserta, penganjur himpunan terbabit juga telah dikenal pasti.
“Setakat ini, seramai lapan daripada 30 peserta telah hadir memberi keterangan manakala saki-baki peserta terlibat masih lagi diburu polis.
“Sebaik sahaja kertas siasatan mengenai kes ini selesai kelak, kita akan serah kepada pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) di sini hari ini.
Dalam himpunan yang dianggarkan berlangsung selama hampir setengah jam itu, pelbagai plakad telah dinaikkan peserta bagi menarik perhatian pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Shuhaily, kes itu diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram kerana penganjur tidak memiliki permit yang sah untuk berhimpun dan kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012. KOSMO! ONLINE