TAIPEI – Seorang lelaki dari Taiwan berdepan detik mengerikan apabila zakarnya terpaksa dibelah pada bahagian tengah oleh doktor bagi mengeluarkan rantai manik logam yang tersangkut di dalamnya, lapor akhbar Daily Star, semalam.
Mangsa dilaporkan pergi ke hospital dan mengadu sakit yang digambarkan seperti renjatan elektrik dalam kemaluannya.
Doktor di Hospital Shuang-Ho Universiti Perubatan Taipei mendapati pesakit tersebut sebenarnya cuba melakukan aktiviti seksual dengan memasukkan rantai logam secara berbahaya ke dalam uretra.
Selepas bertindak demikian, lelaki berkenaan tertidur dan kemudiannya bangun dalam keadaan kesakitan yang perit.
Manik rantai itu didapati telah ‘tertanam’ di dalam zakarnya dan dia tidak dapat mengeluarkannya kerana takut mencederakan diri sendiri, selain tidak boleh membuang air kecil.
Pakar urologi, Gao Weichang berkata, pesakit itu mengalami ‘ketidakselesaan yang teruk’ dan manik-manik tersebut menjejaskan saraf sensitif, sekali gus menyebabkan rasa sakit yang melampau.
Akibatnya, pakar bedah terpaksa membelah zakar lelaki berkenaan untuk mengeluarkan rantai tersebut sebelum membina semula uretranya dalam prosedur yang sukar namun berjaya.- Agensi