BANGKOK – Kementerian Pertahanan Thailand (MOD) menegaskan bahawa anggota tentera tidak dibenarkan menggunakan ganja di semua premis milik tentera, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Jurucakap MOD, Kolonel Chinat Punnotok berkata, askar negara berkenaan juga dilarang sama sekali memuat naik gambar atau rakaman video mereka menggunakan ganja di media sosial.
Pengharaman penggunaan ganja oleh tentera diputuskan kelmarin menerusi mesyuarat Majlis Pertahanan Thailand. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Thailand selaku Menteri Pertahanan, Prayut Chan-o-cha.
Chinat berkata, anggota tentera bagaimanapun dibenarkan menggunakan ganja sekiranya berada di luar premis tentera berdasarkan undang-undang seperti rakyat Thailand lain.
MOD meminta anggota tentera supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Awam jika mereka ingin terus menggunakan ganja.
Anggota tentera harus menggunakan ganja untuk tujuan perubatan dan bukan untuk rekreasi, kata majlis itu.
Mereka juga dilarang menggunakan ganja sebelum mengendalikan kenderaan, jentera atau menjalankan kerja berisiko.
Dalam pada itu, Prayut meminta anggota tentera, polis dan orang awam untuk mendidik diri mereka tentang faedah, risiko dan langkah keselamatan dalam mengguna, menanam, mengimport dan memiliki ganja, jelas jurucakap sama.
Ganja juga diharamkan di semua sekolah di Thailand dan beberapa buah universiti sejak dikeluarkan daripada senarai narkotik Kategori 5 pada 9 Jun lalu.
Akhbar The Royal Gazette melaporkan bahawa individu bawah usia 20 tahun, wanita hamil dan wanita menyusukan bayi tidak dibenarkan membeli atau mengekstrak ganja. – Agensi