KUALA LUMPUR – Selangor Angels mempamerkan kebangkitan lewat permainan untuk memastikan tempat ketiga Sooka Netball Super League (NSL) 2022 kekal menjadi milik mereka.
Kejayaan itu hadir selepas Selangor Angels menewaskan Pahang Tulips 69-65 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.
Kapten Selangor Angels, Yati Akhtar Mahtar menyifatkan kejayaan mereka adalah disebabkan kekuatan mental dan emosi rakan-rakan sepasukannya selepas ‘dikerah’ bersaing sengit dengan Pahang Tulips.
“Alhamdulillah kami berjaya kekalkan pencapaian tahun lepas. Apa yang saya boleh katakan adalah perbincangan sepasukan kerana secara fizikal kami telah lakukan segala-galanya.
“Inilah masanya tahap psikologi, emosi kami perlu kuat. Semangat berpasukan kami kuat, satu hati, satu jiwa untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Yati Akhtar turut memuji para pemain Pahang Tulips kerana memberikan tentangan sengit sehingga mengheret aksi ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 53-53 dalam suku masa keempat.
“Pahang menunjukkan peningkatan drastik berbanding ketika kami bertemu dalam aksi round robin sebelum ini. Pahang bermain dengan cukup hebat dan pujian harus diberikan kepada mereka,” jelasnya.
Meskipun gagal meraih tempat ketiga, namun goal shooter Pahang Tulips, Siti Maisarah Affandi tetap berpuas hati dengan pencapaian sebagai empat pasukan terbaik musim ini. – KOSMO! ONLINE