PETALING JAYA – Suri rumah, Sarimah Abdul Aziz, 53, menganggap dirinya bertuah apabila membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa seekor kambing sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-12 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020 semalam.
Hadiah kambing jantan berharga RM1,000 itu diberikan sebagai kelainan serta inisiatif pihak PIBG dan sekolah untuk menarik lebih ramai ibu bapa hadir ke mesyuarat tersebut.
Menurut Sarimah, dia tidak menyangka namanya diumumkan sebagai penerima hadiah kambing dalam sesi cabutan bertuah berkenaan.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/06/kambing-2-e1656240167291.jpg)
Majlis penyampaian hadiah itu disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Muallim, Saipol Bahrin Sulaiman, Yang Di Pertua (YDP) PIBG SMKBB2020, Prof. Madya Dr. Ghazali Din serta Pengetua SMKBB2020, Mohd. Sabry Deraman.
Sementara itu, Hang Soon dalam ucapan perasmiannya berkata, PIBG berperanan penting membantu pihak sekolah dalam melahirkan pelajar yang berbakat dan bersahsiah selain cemerlang akademik.
Beliau menganggap pendekatan menarik dan unik menghadiahkan kambing untuk cabutan bertuah membuktikan kreativiti PIBG.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan pihak sekolah menerusi PIBG melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada budaya membaca.
“Saya menggalakkan sekolah menerusi PIBG bersama PPD melaksanakan program yang menggalakkan budaya membaca selain mengesan potensi diri setiap pelajar,” katanya.
“Ibu bapa agar disarankan meluangkan masa 30 minit setiap hari mengulangkaji pelajaran bersama anak masing- masing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE