TANAH MERAH – Seorang suri rumah maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang suaminya terbabas akibat mengelak sebuah kereta semasa tiba di lampu isyarat di Kilometer 80.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Jabatan Pengangkutan Jalan, Bukit Bunga di sini semalam.
Mangsa, Sharipah Saad,48, dan suaminya, Asmiran Dahari,50, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke acara Terengganu Bike Week di Pantai Batu Burok, Terengganu sebelum mereka terlibat nahas tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, siasatan awal mendapati, Asmiran yang merupakan pemandu bas membonceng mangsa dengan menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang berada di depan motosikal pasangan suami isteri itu dipercayai telah membrek semasa tiba di lampu isyarat.
“Insiden itu menyebabkan Asmiran mengelak kereta tersebut sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu kiri jalan.
“Mangsa dipercayai telah jatuh dari motosikal sebelum mukanya tersembam ke atas permukaan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zulfikri, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan dan mereka dibawa ke Hospital Jeli dekat sini sebelum Sharipah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan kira-kira tiga jam selepas kejadian.
Katanya, siasatan awal turut mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada kegagalan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu untuk menjaga jarak pemanduan sehingga menyebabkan hilang kawalan.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE